• A- A A+




Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Tidak disiarkan Lagi

JAWATANKUASA HAK-HAK DAN KEBEBASAN

Rujukan:    Peraturan-Perarturan Tetap Dewan Undangan Negeri Sabah perenggan 90 (Jawatankuasa Hak-Hak dan Kebebasan).

Sebuah Jawatankuasa Pilihan penggalan yang dinamakan Jawatankuasa Hak-Hak dan Kebebasan hendaklah ditubuhkan.

Jawatankuasa itu hendaklah terdiri daripada Speaker sebagai pengerusinya dan seramai tujuh orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Tetap seberapa segera yang mungkin selepas penubuhannya.  Perlantikan ahli-ahli jawatankuasa itu hendaklah dengan cara sedemikian yang dapat memastikan, setakat yang boleh bahawa keanggotaan dalam jawatankuasa itu menggambarkan keadaan keseimbangan antara penyokong-penyokong kerajaan dan penyokong-penyokong pembangkang.

Sebarang aduan berkenaan dengan perbuatan melanggar hak-hak dan kebebasan Dewan ataupun apa-apa perkara yang nampaknya menjejas kuasa-kuasa serta hak-hak dan kebebasan Dewan hendaklah dirujukkan kepada jawatankuasa tersebut.  Tugas jawatankuasa itu adalah untuk menimbangkan sebarang perkara yang dirujukkan kepadanya dan untuk melaporkan perkara-perkara tersebut kepada Dewan.

Jika dalam sesuatu kejadian seseorang ahli jawatankuasa itu merupakan pihak yang membuat aduan ataupun pihak yang ditujukan aduan, ataupun pihak yang terlibat dalam perkara yang dirujukkan kepada jawatankuasa maka Speaker hendaklah menggantungkan perkhidmatannya sebagai ahli jawatankuasa apabila jawatankuasa menyiasat perkara-perkara seumpamanya sehinggalah perkara-perkara tersebut dilaporkan bali ke Dewan.  Pada ketika menggantungkan perkhidmatan ahli yang berkenaan Speaker hendaklah melantik seorang ahli lain bagi menggantikan tempatnya dalam jawatankuasa.  Ahli lain yang dilantik sedemikian itu hendaklah terhenti menjadi ahli jawatankuasa sejurus sahaja setelah perkara tersebut dilaporkan balik ke Dewan.

Pada bila-bila masa Dewan sedang bersidang mana-mana ahli bolehlah bangun pada sebarang masa untuk membuat aduan bahawa satu perbuatan melanggar hak dan kebebasan Dewan telah dilakukan dengan tiba-tiba.  Jika Speaker berpuashati bahawa perkara yang diadukan itu benar-benar menjejaskan hak dan kebebasan Dewan dan aduan telah dibangkitkan pada masa yang secepatnya, maka perkara yang sedemikian hendaklah dirujukkan kepada jawatankuasa tanpa diminta apa-apa keputusan siding.  Sebarang acara selanjutnya tidak boleh dijalankan ke atas perkara tersebut sehinggalah setelah jawatankuasa melaporkanya kepada Dewan.

Pada bila-bila masa Dewan tidak bersidang, seseorang ahli boleh membuat aduan bertulis kepada Speaker untuk menyatakan bahawa satu perbuatan melanggar hak dan kebebasan Dewan telah dilakukan.  Jika Speaker berpuashati bahawa perkara yang diadukan itu benar-benar menjejaskan hak dan kebebasan Dewan dan aduan tersebut telah dibangkitkan pada masa yang secepatnya, maka Speaker hendaklah merujukkan perkara tersebut kepada jawatankuasa dan jawatankuasa hendaklah melaporkannya kepada Dewan.

  • Setelah usul yang mengemukakan aduan tentang berlakunya satu perbuatan melanggar hak dan kebebasan atau yang menjejaskan kuasa-kuasa serta hak dan kebebasan Dewan dicadangkan, maka usul tersebut hendaklah terserah kepada jawatankuasa tanpa diminta mesyuarat membuat apa-apa keputusan. Sebarang acara selanjutnya tidak boleh dijalankan ke atas usul tersebut sehinggalah setelah jawatankuasa melaporkannya kepada Dewan.
  • Usul yang sedemikian bolehlah dicadangkan tanpa pemberitahu jika Speaker berpuashati bahawa perkara yang dibangkitkan itu benar-benar menjejaskan kuasa-kuasa serta hak dan kebebasan Dewan dan aduan tersebut telah dituimbulkan pada masa yang secepatnya.

Setelah diberitahu oleh Setiausaha bahawa salinan-salinan laporan daripada jawatankuasa telahpun diedarkan kepada ahli-ahli maka Ketua Dewan hendaklah mengeluarkan pemberitahu berkenaan dengan hasratnya hendak membawa satu usul yang melahirkan pandangan Dewan terhadap laporan tersebut.  Peruntukan-peruntukan perenggan (5) Peraturan Tetap No. 96 (Laporan daripada Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan) tidak boleh dipakai ke atas sesuatu laporan daripada jawatankuasa.

Sebarang usul yang membawa aduan tentang berlakunya perbuatan melanggar hak dan kebebasan Dewan atau perkara yang menjejaskan kuasa-kuasa serta hak dan kebebasan Dewan dan sebarang usul yang berkaitan dengan laporan jawatankuasa hendaklah diutamakan daripada urusan-urusan awal dan hendaklah dibawa dalam siding pada masa yang ditetapkan dalam Peraturan tetap no. 13 (Aturan Urusan Sidang).

Tiada apa-apa peruntukan dalam Peraturan Tetap ini atau dalam mana-mana Peraturan Tetap lain yang difahamkan boleh menghilangkan kuasa Dewan untuk mengambil tindakan dengan serta-merta menurut Peaturan-peraturan Tetap ini atau menurut sebarang syarat undang-undang, terhadap apa-apa jua kesalahan melanggar hak dan kebebasan yang disaksikan dengan jelas berlaku dalam Dewan ataupun kawasan sekitarnya pada ketika Dewan sedang bersidang ataupun pada ketika Dewan sedang bermesyuarat di peringkat jawatankuasa.

Perkataan “perbuatan melanggar hak dan kebebasan Dewan” hendaklah termasuk sebarang perbuatan yang merendah-rendahkan kemuliaan Dewan dan perkataan-perkataan “kuasa-kuasa serta hak dan kebebasan Dewan” atau “hak dan kebebasan Dewan” hendaklah termasuk kuasa-kuasa serta hak dan kebebasan Speaker, ahli-ahli dan jawatankuasa-jawatankuasa Dewan.

Jawatankuasa hendaklah mempunyai kuasa untuk memanggil orang-orang hadir di hadapannya serta meminta supaya risalah-risalah dan rekod-rekod dikeluarkan untuk disiasat.