KOTA KINABALU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, H.E. Syed Ahsan Raza Shah, di pejabatnya, di sini, Jumaat lalu.
Dalam pertemuan itu, Kadzim merakamkan penghargaan atas kesediaan Pesuruhjaya Tinggi Pakistan mengadakan kunjungan hormat ke DUN Sabah.
Kadzim turut menegaskan komitmen institusi legislatif negeri itu dalam menyokong usaha memperkukuh hubungan persahabatan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menekankan peranan DUN Sabah sebagai institusi demokrasi yang penting dalam pembangunan negeri, selain membuka ruang kerjasama strategik yang berpotensi memberi manfaat bersama selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah.
Kunjungan hormat berkenaan turut dihadiri Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk Richard Yong We Kong dan Datuk Al Hambra Tun Juhar.