
Dewan Undangan Negeri Sabah telah menerima Kunjungan Hormat daripada Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) seramai 14 orang yang diketuai oleh YBhg Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS. Objektif utama pertemuan adalah lebih menjurus kepada perkongsian pandangan dan informasi serta hasrat fakulti ini untuk menambah baik Mini Parlimen yang dilaksanakan di fakulti terutama sekali bagi hal yang berkaitan dengan prosedur tatacara pengurusan mesyuarat dan persidangan yang mereka akan laksanakan. Sepanjang lawatan itu berlangsung, delegasi UMS telah diberikan serba sedikit taklimat berkenaan Fungsi dan peranan Dewan Undangan Negeri Sabah sebagai Badan Legislatif utama di Negeri Sabah serta proses-proses perjalanan Persidangan Dewan terutama sekali hal-hal yang berkaitan seperti Sesi Soal Jawab, Sesi Perbahasan serta proses-proses Rang Undang-Undang yang dilaksanakan sewaktu persidangan sehingga menjadi sebuah Undang-Undang yang dikuatkuasakan digelar sebagai Enakmen. Delegasi UMS juga turut diserikan lagi dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Hj Kadzim Hj M Yahya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah dan YBhg Puan Rafidah Maqbool Rahman, Setiausaha Dewan Undangan Negeri sepanjang sesi perbincangan diadakan. Delegasi juga turut diberikan peluang lawatan ke Dewan Persidangan bagi melihat sendiri fasiliti Dewan Persidangan sebagai wadah pengetahuan serta pengalaman berkunjung ke Dewan Undangan Negeri Sabah. – Bahagian Protokol dan Teknologi Maklumat.





Kredit Foto : Mohd Zharif Syamil Bin Patinin
